Ada sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari yang diterima dari Abu Mas'ud, mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud : "Sesungguhnya di antara hal-hal yang ditemui(didapatkan) dari ucapan kenabian yang pertama ialah : Apabila kamu tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu kehendaki". Maksudnya kalau kita tidak malu pada Allah dalam melakukan kemungkaran dan kemaksiatan itu terserahlah, kita boleh melakukan apa-apa yang kita inginkan dan sesuka hatimulah. Tetapi ingatlah bahawa setiap sesuatu itu ada balasannya, baik di dunia ataupun akhirat.
Dari Imran bin Hushain r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Sifat malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan". (Muttafaq alaih). Oleh itu perlu kita melatih diri untuk bersifat malu kerana ia adalah salah satu dari tanda iman seseorang. Kita tidak perlu risau sekiranya anak-anak, adik-adik kita bersifat pemalu kerana itu adalah lebih baik daripada hilang sifat malu dari dalam dirinya. Kita mesti malu untuk melakukan perbuatan maksiat dan dosa seperti malu untuk mendedahkan aurat, berdua-duaan dengan yang bukan mahram, minum arak serta bergaul bebas lelaki dan perempuan tanpa batasan. Tetapi sebaliknya kita tidak perlu malu untuk bersembahyang, menutup aurat , pergi solat berjamaah di masjid serta melakukan ketaatan pada Allah.
Kesimpulannya marilah sama-sama kita membina sifat malu pada diri serta ahli keluarga agar kita terselamat dari kemurkaan Allah di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment